PENGASAS SK PARIT NO 5
Pengasas sekolah merupakan seorang individu yang telah mencetuskan idea ke arah pembinaan sekolah. Pembinaan SK Parit No. 5, Muar ini telah dicetuskan oleh Allahyarham Tuan Hj Md Zin Bin Abd Rahman. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1874 di Jalan Junid, Muar. Beliau telah mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah di Bandar Muar. Walaupun pendidikan yang diterimanya hanya setakat darjah 6, namun usaha untuk menuntut ilmu tidak berakhir di situ. Beliau telah mengambil inisiatif untuk mendalami ilmu agama di sebuah sekolah pondok di Perak.
Setelah tamat menuntut ilmu di sekolah pondok tersebut, beliau telah mengikut bapanya meneroka kawasan – kawasan baru sehingga wujudnya kampung – kampung termasuklah Kampung Parit No.5. Beliau yang merupakan anak tunggal telah menamatkan zaman bujangnya dengan Salimah Binti Marto telah dikurniakan seramai 16 orang cahaya mata yang terdiri daripada 8 orang lelaki dan 8 orang perempuan.
Berlandaskan pendidikan yang diperolehinya, beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau juga mengambil inisiatif mewujudkan kelas Al-Quran dan berzanji di kawasan tersebut bagi memenuhi keperluan rohani penduduk setempat. Di samping itu juga, beliau turut terlibat dalam menguruskan sekolah, masjid dan kawasan perkuburan. Atas jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan Pingat EMAS daripada UMNO dan juga kerajaan British. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1994 dalam usia 120 tahun. Mudah – mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
SEJARAH PEMBUKAAN SEKOLAH
SK Parit No.5 telah dibuka secara rasmi pada 9 Januari 1955 dan ianya merupakan sekolah rakyat. Namun begitu idea penubuhannya telah wujud lebih awal daripada itu. Bangunan sekolah ini pada awalnya telah dibina di atas tanah yang telah diwakafkan oleh Allahyarham Tuan Haji Osman Bin Ishak. Manakala blok-blok baru yang dibina kemudiannya, telah didirikan di atas tanah wakaf milik Allahyarham Tuan Hj Paiman Bin Yaman. Pihak sekolah, PIBG da juga pemilik tanah telah mengambil kata sepakat untuk menilai tanah tersebut.
Pembinaan sekolah ini telah dijalankan secara gotong-royong melibatkan keseluruhan aktiviti dari pembersihan tapak bangunan, penyediaan keperluan pembinaan dan juga perlaksanaan beberapa kumpulan telah dibentuk dan agihan kerja yang telah dilakukan. Segala keperluan kayu-kayan yang digunakan untuk bagi tujuan pembinaan bangunan dan peralatan kerusi meja telah diperolehi dalam hutan yang berdekatan. Manakala setiap keluarga diminta agar dapat menyumbangkan sebanyak 10 keping atap rumbia. Pembinaan sekolah ini telah diketuai oleh dua orang tukang utama iaitu Allahyarham Tuan Hj Sarimon Bin Kadimon dan juga Tuan Hj Ehsan. Usaha tanpa mengenal penat lelah selama setahun ini telah membuahkan hasil dengan berdirinya bangunan sekolah ini.
Apabila bangunan sekolah ini telah siap dibina dan mula dibuka murid pertamanya adalah seramai lebih kurang 94 orang yang terdiri daripada murid lelaki sahaja. Manakala tenaga pengajarnya terdiri daripada Tuan Hj Ahmad Bin Hj Ali, Tuan Hj Suradi Bin Sarimon, dan Encik Abdullah Bin Husin. Di samping itu juga, pengkelasan murid-murid ketika itu dilakukan mengikut kebolehan masing-masing tanpa mengira usia. Bayaran yang dikenakan hanya sebanyak RM1 bagi setiap keluarga. Hasil kutipan tersebut digunakan untuk pembayaran gaji guru-guru.
Pada tahun 1957, sekolah ini telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan dari segi pengurusan dan pentadbiran. Dengan pengambil alihan tersebut, maka nama sekolah ini juga turut berubah dan dikenali sebagai sekolah umum. Setelah pengambil alihan ini kerajaan telah membina bangunan tambahan pada tahun 1963 bagi menampung pertambahan murid yang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 1969 pula, sebuah lagi bangunan tambahan telah dibina untuk menampung keperluan pada masa tersebut. Bangunan setinggi 2 tingkat yang menempatkan pejabat, perpustakaan dan 4 buah bilik darjah telah dibina pada tahun 1981.
Bangunan yang telah dibina pada tahun 1969 telah dirobohkan dan digantikan dengan sebuah bangunan baru yang dapat menempatkan 4 buah bilik darjah. Pada tahun 1990, sebuah lagi bangunan tambahan disambungkan dengan bangunan yang telah dipasang secara siap. Bangunan ini telah dibina secara gotong-royong oleh kariah surau berhampiran dengan peruntukan RM50 000.
Sekolah ini telah dinaik taraf ke sekolah gred A pada tahun 1995 mengikut bilangan murid. Dalam masa yang sama sekolah ini telah mengalami pelbagai perubahan dalam semua aspek mengikut perkembangan semasa.