Oktober sentiasa dimeriahkan dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Di peringkat sekolah, guru-guru dan murid-murid komited berganding bahu merayakan bulan ini untuk mencapai objektif berikut:-
Memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.
Pada 11 Oktober 2018, sekolah telah mengadakan temasya sukan tahunan sekolah dan telah berlangsung dengan cukup meriah. Temasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.00 pagi.
Sehari sebelum temasya sukan tahunan sekolah bermula, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Padang sekolah dihiasi dengan panji-panji berwarna-warni membuatkan suasana cukup meriah. Semua kerja dilakukan secara bergotong-royong bersama dengan beberapa orang pekerja sekolah, guru, dan murid berganding bahu menyiapkan kerja-kerja tersebut. Justeru, semua kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringgan sama dijinjing”. Selain itu, dapat merapatkan lagi ukhuwah antara guru dengan murid.
Para peserta yang mewakili rumah sukan masing-masing telah berlatih dengan bersungguh-sungguh supaya dapat menjuarai setiap kategori yang dipertandingkan. Seperti kata pepatah, “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Oleh itu, setiap peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk bergelar juara.
Pada hari sukan, semua murid dan guru hadir awal ke sekolah dan keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di bawah khemah di sebelah tepi padang sekolah. Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian mengikut rumah masing-masing iaitu rumah merah, biru, kuning, dan hijau. En Mohd Yashudin bin Kusni, Adun Bukit Naning menerima tabik hormat daripada peserta perbarisan dan seterusnya merasmikan acara temasya sukan tahunan sekolah.
Pelbagai persembahan diadakan untuk mencungkil bakat dan menyihatkan badan serta mencerdaskan otak. Pelbagai acara sukan diadakan seperti lompat tinggi, lompat jauh, lumba lari dan sebagainya. Acara lari berganti-ganti menjadi acara kemuncak hari sukan. Para peserta berlari dengan pantas menuju ke garisan penamat. Para penonton bersama ibu bapa turut bersorak untuk memberi sokongan kepada peserta pasukan masing-masing. Ini menjadikan suasana di padang menjadi riuh-rendah dan meriah.
Acara sukan berakhir pada pukul 1.30 tengah hari dan rumah Merah muncul sebagai juara keseluruhan. Guru besar berbesar hati menyampaikan piala kepada para pemenang. Beliau mengucapkan tahniah kepada murid yang berjaya dan menasihati murid yang tidak berjaya supaya tidak berputus asa untuk mencuba lagi tahun hadapan.
Selari dengan anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Hari Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Parit No 5 memperluas serta meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam bidang pendidikan.
Hubungan baik yang diwujudkan antara guru dan ibu bapa, komuniti serta pihak swasta menerusi program sebegini adalah untuk merealisasikan agenda pendidikan negara. Melalui penglibatan semua pihak yang berkepentingan dalam bidang pendidikan ini, objektif penganjuran hari keusahawanan iaitu mengumpul dana tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi pembangunan sekolah.Karnival sehari anjuran bersama Unit Ko-Kurikulum, PIBG dan BKGK sekolah ini, dirasmikan oleh Adun Bukit Naning, En Md.Ysahrudin Kusni.
Program ini mendapat pelbagai sumbangan dan tajaan daripada pelbagai agensi termasuk orang perseorangan. Masyarakat setempat dapat menyertai aktiviti pemeriksaan kesihatan, menyaksikan pameran agensi kerajaan dan membeli produk jualan warga sekolah.
Hari Kebangsaan disambut di seluruh negara pada setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1511. Hari Kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran bagi memperingati detik bersejarah negara kita mencapai kemerdekaan. Pada 31 Ogos ini, negara kita telah menyambut ulangtahun hari kemerdekaan yang ke 61. Oleh itu, sambutan kemerdekaan diadakan di peringkat sekolah untuk memupuk semangat patriotic dalam jiwa pelajar agar sentiasa saying dan cinta akan negara serta berusaha untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai pada hari ini.
Matlamat
Menghayati dan mencintai serta menyayangi negara Malaysia seterusnya menghargai dan mempertahankan kedaulatannya serta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa.
Objektif
Memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme di dalam jiwa pelajar-pelajar sekolah supaya
terus kekal sehingga remaja dan dewasa.
Mencetuskan dan menyemarakkan perasaan, suasana dan semangat kemerdekaan.
Mewujudkan rasa kekitaan dan kerja berpasukan seterusnya mengeratkan perpaduan di semua peringkat.
Menyediakan ruang agar pelajar-pelajar menggunakan kreativiti mereka semasa menjalankan kempen ini.
Anjuran
Panitia Sejarah dengan kerjasama semua Panitia MataPelajaran.
Sasaran
Semua pelajar SK Parit No 5, Muar, Johor.
Cadangan Tarikh Perlaksanaan
Tarikh:5hb Ogos 2018
Hari:Ahad
Tempat:Dewan SK Parit No 5
Logo Hari Kebangsaan 2018
Keterangan LOGO dan Lagu " Kita Punya Malaysia"
Lirik Kita Punya Malaysia & Logo Sayangi Malaysiaku
Alhamdulillah, tahun 2018 telah masuk 61 tahun Malaysia merdeka. Untuk tahun ini, tema Hari Kebangsaan adalah "Sayangi Malaysiaku". Manakala lagu tema sambutan kemerdekaan tahun ini bertajuk "Kita Punya Malaysia " nyanyian kumpulan Bunkface.
Logo Sayangi Malaysiaku
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata simbol rakyat melakukan gerakan mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan dipilih menjadi logo rasmi. Menurutnya, logo itu membawa maksud rakyat Malaysia berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian yang harmoni, bersatu padu, dan terpahat perasaan sayang kepada negara.
"Logo berkenaan adalah hasil ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam, juga yang dipilih Tun Dr Mahathir pada 25 Julai lalu."
"Kami menganjurkan pertandingan terbuka kepada rakyat Malaysia untuk melukis logo Hari Kebangsaan 2018 dan sebanyak 632 logo diterima sebagai penyertaan.
"Perdana Menteri turut meluangkan masa memilih logo dan lagu rasmi yang dinyanyikan kumpulan Bunkface untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini," katanya. - Sumber berita: Jabatan Penerangan Malaysia.
Pada Ahad 8 Julai 2018 yang lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri telah melakukan Program Tanggungjawab Sosial ke SK Parit No 5, Muar. Program tersebut telah berlangsung dengan jayanya dengan dirasmikan oleh YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman.
Pada program tersebut seramai 23 orang murid SK Parit No 5 telah menerima bantuan cermin mata yang dibiayai sepenuhnya oleh LHDN.
Program tersebut bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 11.30 pagi.
Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Johor atas kemangkatan Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 1hb Jun 2018. Al-Fatihah.
Pada hari Selasa 5.6.2018 wakil rakyat Parlimen Bakri Yeo Bee Yin telah datang melawat SKPN 5 untuk mendapatkan maklumat berkenaan permasalahan yang sering dihadapi oleh pihak sekolah dan warganya.
Beliau diiringi oleh dua orang pembantu peribadi telah berjumpa dengan tuan guru besar dan perbincangan ringkas telah dilakukan. Ini merupakan lawatan sosial pertama beliau ke SKPN 5 sejak memegang jawatan wakil rakyat Parlimen Bakri.
Pada 5.6.2018 Majlis Guru Kaunseling Daerah Muar bersama PPD Muar bahagian kaunseling telah memutuskan untuk memilih 7 orang murid daripada SKPN 5 yang kurang berkemampuan untuk menerima bantuan daripada pihak mereka.
Bantuan telah berjaya dilaksanakan selepas waktu persekolahan dan Guru Besar, En Sallehuddin Bin Hj Misnon telah turut serta dalam program tersebut bagi mengiringi wakil Tuan PPD dan pengerusi MGK daerah Muar.
Asalamualaikum semua. Harap berada didalam keadaan sihat ya. (^_^). Selamat berpuasa dan semoga kedatangan bulan yang penuh dengan kemuliaan dan barakah ini dapat kita bersama-sama mengejar sebanyak mana amalan yang mampu kita laksanakan.. Bulan yang ditunggu-tunggu kedatangannya setahun sekali ini..bulan yang dirindui oleh cikgu..
Sempena bulan ramadhan ini telah diadakan program tadarus al-quran pada waktu rehat di sekolah. Insyallah kita sama-sama bertadarus ya...
Semoga amalan cikgu dan murid-murid semua diberkati oleh ALLAH..aminnnn.
Program Khatam Al-Quran SKPN5 dilaksanakan pada hari Khamis (7.6.2018) dan diakhiri dengan pemberian bantuan kepada murid yang kurang berkemampuan.