Pada 11 Oktober 2018, sekolah telah mengadakan temasya sukan tahunan sekolah dan telah berlangsung dengan cukup meriah. Temasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.00 pagi.
Sehari sebelum temasya sukan tahunan sekolah bermula, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Padang sekolah dihiasi dengan panji-panji berwarna-warni membuatkan suasana cukup meriah. Semua kerja dilakukan secara bergotong-royong bersama dengan beberapa orang pekerja sekolah, guru, dan murid berganding bahu menyiapkan kerja-kerja tersebut. Justeru, semua kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringgan sama dijinjing”. Selain itu, dapat merapatkan lagi ukhuwah antara guru dengan murid.
Para peserta yang mewakili rumah sukan masing-masing telah berlatih dengan bersungguh-sungguh supaya dapat menjuarai setiap kategori yang dipertandingkan. Seperti kata pepatah, “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Oleh itu, setiap peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk bergelar juara.
Pada hari sukan, semua murid dan guru hadir awal ke sekolah dan keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di bawah khemah di sebelah tepi padang sekolah.
Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian mengikut rumah masing-masing iaitu rumah merah, biru, kuning, dan hijau. En Mohd Yashudin bin Kusni, Adun Bukit Naning menerima tabik hormat daripada peserta perbarisan dan seterusnya merasmikan acara temasya sukan tahunan sekolah.
Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian mengikut rumah masing-masing iaitu rumah merah, biru, kuning, dan hijau. En Mohd Yashudin bin Kusni, Adun Bukit Naning menerima tabik hormat daripada peserta perbarisan dan seterusnya merasmikan acara temasya sukan tahunan sekolah.
Pelbagai persembahan diadakan untuk mencungkil bakat dan menyihatkan badan serta mencerdaskan otak. Pelbagai acara sukan diadakan seperti lompat tinggi, lompat jauh, lumba lari dan sebagainya. Acara lari berganti-ganti menjadi acara kemuncak hari sukan. Para peserta berlari dengan pantas menuju ke garisan penamat. Para penonton bersama ibu bapa turut bersorak untuk memberi sokongan kepada peserta pasukan masing-masing. Ini menjadikan suasana di padang menjadi riuh-rendah dan meriah.
Acara sukan berakhir pada pukul 1.30 tengah hari dan rumah Merah muncul sebagai juara keseluruhan. Guru besar berbesar hati menyampaikan piala kepada para pemenang. Beliau mengucapkan tahniah kepada murid yang berjaya dan menasihati murid yang tidak berjaya supaya tidak berputus asa untuk mencuba lagi tahun hadapan.